PUTRAJAYA, 15 Januari- Rakyat di kawasan berisiko diingatkan waspada, siap sedia hadapi kemungkinan banjir akibat luruan monsun.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata ia akan berkuat kuasa sehingga 19 Januari kepada 3 lokasi yang telah diberi amaran luruan monsun menurut MET Malaysia.
"Ia termasuk selatan Semenanjung Malaysia, Sarawak dan juga Sabah. Jadi peringatan kepada warga yang berada di negeri Johor terutama di sekitar Mersing dan Pengerang untuk berhati-hati.
"Begitu juga dengan warga di Sarawak dan Sabah untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan dan berlaku banjir akibat luruan monsun," katanya.
Terdahulu, MetMalaysia turut menasihati orang awam untuk sentiasa merujuk laman web dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.
Dalam perkembangan berlainan, Fahmi memaklumkan Malaysia akan terus menjadi destinasi pilhan bagi pelaburan asing termasuk badan-badan seperti Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA).
Ia, katanya hasil kejayaan lawatan Perdana Menteri ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Malah, sebuah syarikat Malaysia turut menerima tambahan pelaburan daripada konsortium pelabur tersebut.
"Beberapa pihak termasuk Abu Dhabi Investment authority ataupun ADIA berhasrat untuk meningkatkan jumlah pelaburan dan susulan kepada pengumuman Perdana Menteri, kita ada membaca tentang Ppngumuman tambahan pelaburan RM1 bilion ke dalam sebuah syarikat Malaysia yang bernama YINSON.
"Ini sudah pasti menunjukkan bahawa Malaysia terus menjadi destinasi pilihan, pelaburan antarabangsa," katanya.
Terdahulu sebuah anak syarikat milik tidak langsung Yinson Holdings Bhd, Yinson Production Offshore Holdings Ltd (YPOHL) telah memperoleh pelaburan berjumlah AS$1 bilion (RM4.48 bilion) daripada konsortium firma pelaburan antarabangsa untuk memacu pertumbuhan.
Konsortium pelabur tersebut merangkumi Platinum Lily B 2024 RSC Ltd, anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA), dana yang diuruskan oleh British Columbia Investment Management Corporation (BCI) serta RRJ Group.