fb fb fb fb fb

Lupus al-Quran rosak secara betul dan terkawal

ARAU, 17 Oktober - Umat Islam bertanggungjawab membaca, memahami, tadabbur dan mengamalkan sama ada suruhan atau larangan yang terkandung dalam kitab al-Quran.
 
Selain itu, umat Islam juga bertanggungjawab untuk menjaga, memelihara dan memastikan teks al-Quran dalam keadaan baik dan sekiranya rosak, koyak dan tidak dapat dibaca hendaklah dilupuskan dengan cara yang betul dan terkawal.
 
Menurut Exco Negeri, Izizam Ibrahim antara cara terbaik untuk melupuskan bahan-bahan yang mempunyai kehormatan tersebut ialah dengan membakarnya, dikumpulkan abunya dan dibuang di tempat yang selamat seperti di laut atau ditanam ke dalam tanah.
 
"Sebagaimana yang dilaksanakan di negeri-negeri lain, teks dan bahan al-Quran ini dikumpulkan di pusat-pusat pengumpulan yang telah ditentukan oleh agensi-agensi agama negeri dan diuruskan proses pembakaran serta menanamnya selepas itu secara terkawal.
 
"Ianya adalah selari dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-13 tahun 2014 yang menyatakan bahawa Mushaf al-Quran yang telah rosak dan tidak boleh dimanfaatkan lagi bolehlah dilupuskan dengan dibakar atau ditanam," kata Izizam, pada Majlis Perasmian Pusat Pengumpulan al-Quran Negeri Perlis di Masjid Negeri, di sini.
 
Selain Masjid Negeri, Arau, projek Pengumpulan Pelupusan al-Quran (PPPAQ) yang dibangunkan dengan kerjasama masjid yang menyediakan kemudahan demi kesejahteraan umat Islam untuk menjaga kemuliaan al-Quran turut melibatkan dua lagi pusat iaitu Masjid Jamek Beseri dan Musolla al-Irsyad wa al-Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs).

(FOTO FAIL)
 

Media Baharu