
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.35 peratus dengan jumlah agihan keseluruhan RM524.74 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
- Dividen diumumkan merupakan yang tertinggi dalam tempoh lapan tahun, mencerminkan prestasi kewangan LTAT yang kukuh.
- Pendapatan pelaburan RM749.49 juta dan keuntungan boleh agih RM541.56 juta, manakala rizab meningkat 29.1 peratus kepada RM1.31 bilion.
- LTAT melancarkan Pelan Transformasi Strategik GEMPUR30; Kementerian memberi sokongan penuh dan akan terus memantau pelaksanaan.
Agihan dividen itu adalah yang tertinggi dalam tempoh lapan tahun, sekali gus mencerminkan prestasi kewangan kukuh dana persaraan tersebut dalam mengurus simpanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Bagi tahun kewangan yang dilaporkan, LTAT mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh dengan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM749.49 juta dan keuntungan boleh agih RM541.56 juta.
Rizab dananya pula meningkat 29.1 peratus kepada RM1.31 bilion, berbanding RM1.01 bilion pada 2024.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, prestasi itu satu pencapaian yang membanggakan memandangkan situasi ekonomi dunia yang mencabar sepanjang 2025.
Beliau berkata, selain pencapaian kewangan, LTAT juga telah memperkenalkan Pelan Transformasi Strategik 2026-2030 (GEMPUR30).

“Dengan segala perancangan yang telah diluluskan, termasuk pelaksanaan pelan seperti GEMPUR30, saya percaya LTAT berada pada landasan yang betul untuk mengurus dana simpanan anggota tentera dengan lebih berkesan.
“Usaha ini diharap mampu memberikan pulangan yang lebih baik kepada anggota. LTAT akan terus dipantau oleh Kementerian Pertahanan dan segala usaha dilakukan mendapat sokongan penuh daripada kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2025, di sini hari ini.
Dividen kali ini juga menandakan tahun keempat berturut-turut LTAT mencatatkan pulangan dividen sebanyak lima peratus atau lebih.
Dividen itu akan dikreditkan ke akaun pencarum pada 13 Mac 2026 dan boleh disemak melalui aplikasi mudah alih MyWIRA atau laman web rasmi LTAT.