LPP, RTM perkukuh kerjasama strategik menerusi program kerohanian

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Mac -Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi penganjuran program tadarus dan khatam al-Quran sempena Ramadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penganjuran bersama Masjid Muhammadi Angkasapuri RTM menggabungkan dua agensi dalam majlis kerohanian yang bermakna.
  • Menekankan penghayatan Al-Quran dan pembinaan jiwa, bukan hanya kemahiran teknikal atau kepakaran kerja.
  • Kira-kira 150 peserta tadarus dan khatam termasuk pegawai RTM serta LPP Negeri Selangor.
  • Majlis turut menyantuni 160 penerima wakalah zakat dan meneruskan kerjasama melalui program jualan Agro MADANI.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata progam julung kalinya itu merupakan satu langkah baharu dalam memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan melalui program kerohanian.

Menurutnya, penganjuran bersama Masjid Muhammadi Angkasapuri RTM itu bukan sekadar menggalakkan pembacaan al-Quran, tetapi turut menekankan penghayatan serta pembinaan jiwa dalam kalangan peserta.

“Cuma satu kelainan yang dibuat pada hari ini ialah satu kerjasama strategik dengan pihak Masjid Muhammadi RTM di Angkasapuri.

“Ini satu benda yang sangat menarik bagi saya bahawa dua agensi kita dapat gabungkan dalam satu penganjuran majlis yang sangat bererti ini.

“Dalam usaha untuk kita bukan sekadar membaca Quran, tapi nak membudayakan penghayatan, pembinaan kerohanian. Sebab pembinaan kejiwaan itu harus ditingkatkan.

“Bukan sekadar kemahiran, kepakaran dalam bidang teknikal ataupun pekerjaan kita, tetapi kekuatan jiwa itu harus dibina melalui pembinaan Al-Quran,”katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Tadarus dan khatam al-Quran Perdana Surau Al-Falah di Menara LPP, di sini.

Hadir sama, Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin dan Ketua Imam Masjid Muhammadi Angkasapuri RTM, Ustaz Mohd Firdaus Muhamad.

Sementara itu, Ustaz Mohd Firdaus Muhamad menyifatkan penyertaan kakitangan RTM bersama jemaah masjid berkenaan mencerminkan komitmen dalam memperkasa program keagamaan dan kebersamaan antara agensi.

“Alhamdulillah, rakan-rakan strategik yang mana yang merasakan benda ini ada kebaikan untuk kita semua, boleh kita sama-sama dalam memartabatkan institusi masjid kita.

“Lebih-lebih lagi bila mana kita di Masjid MuhammadibAngkasapuri berada di dalam kompleks penyiaran RTM, bukan bererti kita hanya melakukan solat sahaja semata-mata, tetapi kita banyak juga melakukan program-program amal dan juga program-program yang menjadi keberkesanan kepada semua orang untuk umat,”katanya.

Tambahnya, kerjasama berkenaan merupakan kesinambungan hubungan strategik antara kedua-dua pihak, termasuk melalui program jelajah Ramadan serta penglibatan LPP dalam program jualan Agro MADANI di Masjid Muhammadi Angkasapuri sebelum ini.

Program ini melibatkan kira-kira 150 peserta tadarus dan khatam Al-Quran, termasuk penyertaan daripada pegawai RTM serta LPP Negeri Selangor.

Selain itu, seramai 160 penerima wakalah zakat turut disantuni dalam majlis itu.