fb fb fb fb fb

Lima strategi hadapi COVID-19, belum masa laksana PKP

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA, 18 Disember- Kerajaan tidak bercadang melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan peningkatan kes COVID-19 dalam negara.

Bagaimanapun, jelas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, orang ramai diminta memantau status kesihatan kendiri termasuk melakukan ujian COVID-19 sekiranya bergejala.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperkukuhkan pelan pengurusan COVID-19 melalui lima strategi bagi menghadapi lonjakan kes COVID-19 ketika ini.

"Strategi pertama adalah pengesanan awal kes COVID-19 dan varian SARS-CoV-2.

"Strategi kedua adalah pemerkasaan komuniti melalui TRIIS iaitu 'Test', 'Report', 'Isolate', 'Inform', dan 'Seek'.

"Strategi ketiga adalah pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes COVID-19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi.

"Strategi keempat adalah pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan.

"Strategi kelima adalah pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera," kata Dzulkefly melalui Sidang Media Khas Menteri Kesihatan di sini.

Tambah Dzulkefly, sebanyak 20,696 kes baharu sepanjang Minggu Epidemiologi 50 direkodkan dari 10 hingga 16 Disember.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM