fb fb fb fb fb

Lima RUU dibentang di persidangan DUN Sarawak Isnin ini

Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dalam dalam sidang media selepas Mesyuarat Pra-persidangan DUN/Foto UKAS

KUCHING, 4 Mei - Lima Rang Undang-Undang (RUU) Kerajaan Negeri akan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 yang bermula pada Isnin ini, kata Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Menurut Amar, antaranya RUU Perbekalan Tambahan (2023), 2024 dan RUU Perbekalan Tambahan (2024) yang dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada hari kedua persidangan.

Jelasnya, Datuk Amar Douglas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan turut membentangkan RUU Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024 yang merupakan RUU baharu dalam pembentangan itu.

"Dua lagi iaitu RUU Perlindungan Kesihatan Awam (Pindaan), 2024 akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Premier Sarawak.

"Manakala Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar akan membentangkan RUU Perbadanan Perhutanan Sarawak (Pindaan ) 2024," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pra-persidangan DUN yang dipengerusikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di sini hari ini.

Sementara itu pada persidangan kali ini Dewan Undangan Negeri Sarawak menerima 352 soalan iaitu 267 untuk soalan lisan dan 85 bertulis.

Sesi soal jawab akan diadakan selama 4 hari bermula pada 7 Mei sehingga 10 Mei depan dan disusuli dengan sesi Perbahasan Usul Penghargaan Atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 8 Mei sehingga 10 Mei.

Ucapan penggulungan kementerian akan dilakukan pada 13 Mei sehingga 15 Mei.

GRACE AISYAH KEDAYAN