LIMBANG, 24 Jun- Tujuh puluh tiga orang hilang tempat tinggal selepas lima buah rumah yang mereka diami musnah dalam kebakaran di Kampung Pemukat, Jalan Kuala Lawas, Lawas lewat petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas telah dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 43 kilometer dari balai berkenaan sebaik sahaja menerima panggilan mengenai insiden itu pada 5.47 petang.
Ujarnya pasukan bantuan dari BBP Sipitang serta pasukan bomba sukarela dari Kampung Pemukat dan Kampung Punang turut dikerah ke lokasi kejadian.
“Lima buah rumah musnah 100 peratus menyebabkan 73 penghuni hilang tempat tinggal manakala seorang lelaki berusia 73 tahun melecur di bahagian tangan,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.
Kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya pada 7.09 malam dan punca kejadian masih dalam siasatan.