KUCHING, 14 Januari- Lima maut manakala dua cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Stutong Baru di Kuching tengah hari tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah, empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak.
Dalam kejadian pukul 12.50 tengah hari itu, sebuah kenderaan jenis sedan yang datang dari arah pusat bandar dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh dua lagi kenderaan jenis sedan dan dua buah motosikal.
Kesemua mangsa berumur antara 16 dan 45 tahun.
Polis akan menahan seorang pemandu bagi membantu siasatan.
Pemandu berkenaan yang berumur 16 tahun didapati tidak memiliki lesen memandu.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.