Lima kereta musnah dalam kebakaran bengkel kereta

Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah

KUALA KEDAH, 28 Januari Lima kenderaan musnah dalam satu kebakaran di sebuah bengkel kereta di Kampung Selarong Batak, Jalan Batas Paip, di sini, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat kenderaan musnah hampir 90 peratus manakala satu lagi rosak kira-kira lima peratus.
  • Operasi pemadaman dilakukan dengan satu aliran dan dua pancutan air sepanjang 200 kaki.
  • Kebakaran dikawal sepenuhnya pada 1.32 pagi; punca dan jumlah kerugian masih disiasat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.00 pagi.

Sepasukan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) kemudian digerakkan ke lokasi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) l Zulkiflee Mat Esa berkata, kebakaran melibatkan sebuah bengkel kereta kelas C berkeluasan kira-kira 40 x 20 kaki dengan kemusnahan dianggarkan 10 peratus.

“Terdapat empat kenderaan yang terbakar dan mengalami kemusnahan sekitar 90 peratus.

Manakala sebuah lagi kenderaan mengalami kerosakan kira-kira lima peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, operasi pemadaman menggunakan satu aliran dengan dua pancutan air sepanjang 200 kaki di bahagian hadapan bangunan.

Pasukan Bomba Sukarela, polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut berada di lokasi bagi membantu operasi.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 1.32 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.