fb fb fb fb fb

Lima kenderaan terbabit kemalangan di PLUS Selatan

FOTO BOMBA PERAK

GOPENG, 26 Februari- Sembilan individu termasuk bayi berusia setahun mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 291.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dari Gopeng menghala ke Tapah.

Tiga daripada mangsa merupakan warga Singapura yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.44 tengah hari.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng bergerak ke lokasi bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dibantu BBP Simpang Pulai 

Setibanya di lokasi, bomba mendapati tiga wanita, empat lelaki dan seorang bayi mengalami kecederaan ringan, manakala seorang lelaki cedera di bahagian kepala dan tangan.

Sementara itu, kenderaan kelima telah beredar dari lokasi kejadian semasa jentera bomba tiba berikutan mengalami pelanggaran yang sedikit.

Enam mangsa telah dirawat oleh pasukan EMRS dan dihantar ke hospital, manakala seorang mangsa diberi rawatan oleh pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

Dua mangsa lagi yang cedera ringan hanya berada dalam kenderaan masing-masing.

Operasi tamat pada pukul 1.55 tengah hari.

SITI AISHAH BINTI MD ISA