fb fb fb fb fb

LIMA'25: Malaysia komited perkukuh kesiapsiagaan pertahanan

Foto BERNAMA

LANGKAWI, 19 Mei - Malaysia komited memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara meskipun ASEAN kekal sebagai rantau paling aman di dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap negara mesti sentiasa bersedia menghadapi perubahan landskap keselamatan global, termasuk kemajuan teknologi dalam sektor pertahanan.

"Untuk sesebuah negara memastikan dan menjamin keamanan, negara itu mesti bersiap siaga serta mampu menghargai perubahan keadaan semasa," menurutnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga berkata, LIMA'25 terus menjadi platform penting bagi Malaysia dan negara rakan dalam memperkukuh hubungan strategik, khususnya dalam sektor pertahanan.

Menurutnya, pameran bertaraf antarabangsa itu bukan sahaja mencerminkan komitmen Malaysia terhadap keselamatan serantau, malah membuka ruang kerjasama menerusi pelbagai mekanisme seperti rondaan bersama di Selat Melaka.

“Malaysia terus mengorak langkah membina rakan strategik baharu, terutamanya dalam industri pertahanan yang melibatkan sektor maritim dan aeroangkasa,” katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan LIMA’25 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) malam ini.

Lebih daripada 860 pempamer dari seluruh dunia dijangka menyertai pameran ini.

LIMA'25 akan menampilkan pelbagai segmen termasuk pertunjukan udara dan maritim, pameran teknologi terkini, serta forum dan persidangan yang membincangkan isu-isu semasa dalam industri pertahanan dan keselamatan.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD