fb fb fb fb fb

LIMA’25 ukur kesediaan digital negara

Ketua Kumpulan Penyelidikan Data Sains Universiti Putra Malaysia, Dr. Maslina Zolkepli.

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Kejayaan menyediakan capaian internet berkelajuan tinggi sepanjang Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25) membuktikan keupayaan infrastruktur digital negara.

Ketua Kumpulan Penyelidikan Data Sains Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Maslina Zolkepli berkata, pencapaian itu menunjukkan kesiapsiagaan teknologi negara dalam menyokong penggunaan digital secara besar-besaran di satu lokasi padat.

Menurut beliau, kestabilan liputan internet sepanjang pameran menjadi indikator penting kepada kesediaan Malaysia menuju ke arah ekonomi digital yang inklusif.

Katanya, kemampuan kerajaan menyediakan fasiliti digital dalam keadaan jumlah pengunjung yang tinggi membuktikan kekuatan infrastruktur sedia ada.

“Bila ramai pengunjung menggunakan peranti secara serentak di satu lokasi dan kerajaan mampu menampung keperluan itu, ia satu kejayaan,” jelasnya selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Wisma Berita, Angkasapuri.

Beliau menambah, bidang data sains memainkan peranan penting dalam persiapan acara berskala besar termasuk LIMA’25.

Jelasnya, keperluan infrastruktur digital boleh dikenal pasti lebih awal menerusi analisis data kehadiran dan corak penggunaan pada penganjuran edisi terdahulu.

“Berdasarkan data yang dikumpul sebelum ini, kerajaan boleh merancang agar kemudahan tersedia mampu menampung jumlah pengunjung yang dijangka,” katanya lagi.

LIMA’25 bukan sahaja menonjolkan kekuatan sektor pertahanan dan aeroangkasa, malah turut menjadi medan penting untuk menilai tahap kesediaan negara dalam membina kesalinghubungan digital yang kukuh dan inklusif.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN