KUALA LUMPUR, 2 Mei- Letusan semula Gunung Ruang, di Sulawesi Utara pada pukul 4.40 pagi, 30 April yang lalu, tidak menjejaskan kualiti udara di Malaysia.
Menerusi satu kenyataan rasmi, Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar memaklumkan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan pada pukul 11 pagi tadi menunjukkan 35 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik.
Manakala 29 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.
Jelasnya, satu stesen sahaja yang mencatatkan kualiti udara pada tahap tidak sihat iaitu di Stesen Rompin, Pahang disebabkan oleh kebakaran setempat.
Asap debu letusan tidak memberi kesan ketara kepada bacaan IPU stesen- stesen pengawasan kualiti udara di Malaysia.
Tiada peningkatan bacaan pencemar pepejal terampai (PM2.5 dan PM10), sulfur Dioksida (SO2), Nitrogen Dioksida (NO2), Ozon (O3) dan Karbon Monoksida (CO) yang berpunca daripada asap debu letusan direkodkan.
Sebarang bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk di laman web Jabatan Alam Sekitar seperti tertera.