fb fb fb fb fb

Letupan di IPD Sentul disebabkan kerja pelupusan barang kes

KUALA LUMPUR, 27 April- Letupan yang berlaku di pusat penyimpanan barang kes, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul petang semalam berpunca daripada geseran ketika jentolak melupuskan barang kes seperti mercun dan bunga api.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pergeseran jentera itu dengan tanah atau pasir menghasilkan haba seterusnya menyebabkan berlakunya letupan.

"Kebakaran dipercayai berlaku ketika kerja-kerja pelupusan dan pembersihan akhir oleh pekerja pembersihan.

Ekoran daripada insiden tersebut, seramai tiga orang pekerja pembersihan mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala tujuh yang lain terdiri daripada pegawai polis dan pekerja perkhidmatan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya pada sidang media di IPD Sentul di sini.

(Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika sidang media di IPD Sentul)

Tambah beliau, kerja pelupusan mercun dan bunga api itu dijalankan atas perintah mahkamah, iaitu dilupuskan dengan cara digelek dengan jentolak dan siraman air.

Polis juga meminta bantuan pihak bomba untuk menyiram semua barang kes sebelum kerja-kerja pelupusan dijalankan.

"Sebanyak 18 kereta dan dua lori barang kes terbakar susulan kejadian tersebut.

Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur masih menjalankan siasatan di tempat kejadian dan jumlah kerugian sebenar masih belum dikenal pasti," katanya lagi.

Megulas lanjut, pihaknya menerima tujuh laporan polis berkaitan kerosakan pada rumah penduduk di kawasan sekitar.

"Ada yang rumah mengalami kerosakan pada cermin tingkap, ada yang bumbung pecah namun tidak menyebabkan kecederaan kepada penghuni," ujarnya lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206 untuk membantu siasatan.

Media Baharu