LABUAN, 1 Mac- Pembukaan semula Lestari Niaga Madani@Labuan selepas selesai proses naik taraf menawarkan ruang niaga yang lebih selesa.
Ia mencerminkan kejayaan usaha kerajaan dalam memperkasa golongan peniaga kecil, sekali gus menjadikan ia salah satu lokasi tarikan baharu di pulau itu.
Rata-rata peniaga yang ditemui menyambut baik pembukaan semula lokasi itu yang disifatkan ruang untuk mereka kembali berkembang.
Pengurus premis, Mohamad Sobree Ismail berkata, lokasi itu membuka peluang kepada peniaga memperkenalkan produk makanan tempatan dengan lebih meluas.
"Jadi, saya mahu orang yang berkunjung ke Labuan singgah di sini dahulu kerana lokasinya yang dekat dengan terminal, pusat bandar, serta mempunyai fasiliti yang cukup baik.
"Selain itu, tempat ini terletak di tepi laut dan menawarkan pemandangan yang dikatakan tiada di tempat lain," katanya kepada RTM.
Lestari Niaga Madani@Labuan menempatkan 10 peniaga makanan tempatan dari seluruh Labuan.
Lokasi itu sebelum ini dikenali Siswazah Corner sebelum siap dinaik taraf November tahun lalu dengan peruntukan RM1.2 juta.