Lenggong diiktiraf sebagai ‘UNESCO Global Geopark’ ke-3 Malaysia

Foto Tourism Perak Malaysia

LENGGONG, 2 April Lenggong bakal mencatat sejarah apabila diumumkan secara rasmi sebagai UNESCO Global Geopark ketiga di Malaysia pada 23 Mei ini di Paris, sekali gus memperkukuh kedudukan negara dalam rangkaian geopark bertaraf dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Diperakukan sebagai UNESCO Global Geopark selepas pembentangan komprehensif, pentauliahan rasmi dijadualkan 27 April di ibu pejabat UNESCO.
  • Menjulang nilai luar biasa geologi dan arkeologi, termasuk tapak Bukit Bunuh bukti impak meteorit kira-kira 1.8 juta tahun penting untuk kajian evolusi manusia.
  • Pengiktirafan dijangka memacu pelancongan lestari dan pembangunan sosioekonomi setempat, memberi limpahan manfaat kepada rakyat serta ekonomi negeri dan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pengiktirafan itu dibuat selepas pembentangan komprehensif pada Persidangan Antarabangsa ke-11 Global Geopark di Universidad Catolica de Temuco, Araucania, Chile pada 7 Sept tahun lepas.

Beliau berkata pengiktirafan itu melayakkan Lenggong menyertai rangkaian UNESCO Global Geopark di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), selepas diwartakan sebagai Geopark Kebangsaan pada 16 Dis 2021.

“Majlis penyerahan pentauliahan rasmi dijadual berlangsung pada 27 April ini di ibu pejabat UNESCO di Paris, sekali gus memuktamadkan status Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark.

“Pengiktirafan ini juga mencerminkan keunikan dan nilai luar biasa Lenggong dari segi geologi, arkeologi serta warisan semula jadi yang memenuhi piawaian ketat UNESCO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Sempena Lawatan Akademik Lenggong Geopark “Lenggong Tapak Pendidikan Terbuka”, dan Majlis Penandatangan Memorandum Persefahaman Universiti Teknologi Malaysia (UTM)-Lenggong Geopark, di sini malam tadi.

Turut hadir dan merasmikan majlis ialah Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong merangkap Pengerusi Lenggong Geopark berkata pengiktirafan itu juga bukan sahaja mengangkat warisan geologi dan arkeologi Lenggong, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi setempat melalui sektor pelancongan lestari.

“Tarikan utama ialah tapak Bukit Bunuh yang menempatkan bukti impak meteorit berusia kira-kira 1.8 juta tahun, menjadikannya antara lokasi penting dalam kajian evolusi awal manusia dan sejarah bumi.

“Kita perlu berbangga kerana ia bukan sahaja meningkatkan profil Lenggong dan negeri Perak di persada antarabangsa, malah berpotensi merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan serta ekonomi setempat,” katanya.

Beliau yakin Lenggong akan muncul sebagai destinasi pelancongan utama bertaraf global, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada rakyat dan negara.- BERNAMA