fb fb fb fb fb

Lelaki warga Myanmar maut diserang harimau ketika menoreh

FOTO IPD GUA MUSANG

GUA MUSANG, 12 November- Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas diserang seekor harimau belang ketika sedang menorah getah di Ladang Meranto, Gua Musang, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superitenden Sik Choon Foo menerusi satu kenyataan berkata, dalam kejadian tersebut, lelaki berusia 22 tahun itu bersama isterinya menoreh getah di ladang berkenaan.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada pukul 1.30 tengah hari.

"Akibat serangan harimau terbabit, mangsa mengalami luka dan berdarah di bahagian belakang leher.

"Mangsa kemudiannya dibawa isteri dan tiga rakannya yang berada di tapak pemeriksaan kayu balak Meranto ke Hospital Gua Musang bagi mendapatkan rawatan lanjut,"katanya dalam kenyataan tersebut.

Jelas Sik, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital selepas menerima rawatan kecemasan.

"Hasil bedah siasat oleh pegawai perubatan forensic hospital, Dr Nik Ahmad Asrar Nik Mohamed Zaki mendapati, sebab kematian adalah kecederaan parah pada bahagian kepala akibat serangan harimau,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, beliau turut memaklumkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan meneruskan pemasangan kamera dan perangkap harimau dalam usaha mengesan dan menangkap harimau berkenaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE