fb fb fb fb fb

Lelaki Thailand didakwa edar syabu lebih 147 kg

Gambar hiasan

KANGAR, 26 Mac - Seorang lelaki warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 147,675 gram di Wang Kelian dekat Padang Besar, minggu lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammatliket Ammalee, 44, yang mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thai di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Mengikut pertuduhan, lelaki bekerja sebagai pemandu pikap menghantar barangan itu didakwa mengedar dadah itu bersama-sama seorang lelaki Thailand masih bebas di laluan import Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian pada 11.45 pagi 19 Mac.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Nurshahida tidak membenarkan jaminan terhadap lelaki itu dan menetapkan sebutan semula kes pada 20 Jun untuk mendapatkan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala Muhammatliket Ammalee tidak diwakili peguam. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN