Lelaki tersepit ditimpa pokok di Bachok berjaya diselamatkan

Foto RTM

BACHOK, 6 Februari– Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila tersepit selepas ditimpa pokok ketika melakukan kerja penebangan di Kampung Tepus-Pauh 5, di sini, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anggota bomba BBP Bachok dikerahkan selepas panggilan NG999 untuk menyelamatkan mangsa ditimpa pokok.
  • Mangsa, 45 tahun, tersepit di bahagian paha oleh pokok setinggi kira-kira 10 kaki, berjaya diturunkan menggunakan tangga.
  • Mangsa diserahkan kepada KKM; pemeriksaan awal mengesahkan tiada kecederaan serius.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada pukul 6.23 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Ramzi Mohd Zaim berkata jentera tiba di lokasi pada pukul 6.44 petang dan mendapati seorang lelaki berusia 45 tahun, dikenali sebagai Khairul Fazli, tersepit pada bahagian paha selepas ditimpa pokok setinggi kira-kira 10 kaki yang sedang ditebang.

Beliau berkata, anggota bomba menggunakan tangga untuk naik ke atas pokok sebelum berjaya menurunkan mangsa dengan selamat.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pemeriksaan lanjut.

Tambahnya, hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Operasi menyelamat melibatkan sembilan anggota bersama sebuah jentera LFRT dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.23 malam.