KUCHING, 12 Februari- Seorang lelaki yang terperangkap dalam hutan disebabkan air pasang besar di Kampung Semariang Pinggir, Kuching, 12.00 tengah hari tadi berjaya diselamatkan.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Pegawai Bomba Kanan dua KUP Amat Abdul Rahman, panggilan kecemasan diterima pukul 7.27 malam, sebelum menggerakkan dua anggota bersama sebuah van ke lokasi.
Penduduk kampung memaklumkan mangsa, Mohd Zulfika, 33, masuk ke hutan untuk mengambil kayu.
Penduduk kampung juga memaklumkan mangsa dapat dihubungi dan sudah memanjat pokok yang tinggi bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Pasukan bomba membuat penilaian risiko dan berbincang dengan polis serta ketua kampung untuk menyelamat mangsa yang terkandas di seberang sungai menggunakan bot penduduk.
Mangsa selamat dibawa menyeberang sungai sejauh empat kilometer dengan bot penduduk kampung dan tidak cedera sebelum diserah kepada keluarga.
Operasi tamat kira-kira sejam kemudian.