Lelaki Rohingya didakwa bunuh isteri hamil

Lelaki Rohingya didakwa bunuh isteri hamil./BERNAMA

KOTA TINGGI, 25 Februari – Seorang lelaki Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan termasuk membunuh isterinya yang sedang hamil, pada 13 Februari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lelaki Rohingya didakwa membunuh isterinya yang sedang hamil pada 13 Februari.
  • Pertuduhan bunuh dibawa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, hukuman termasuk mati atau penjara panjang.
  • Pertuduhan kedua mendakwa penggunaan lesung batu menyebabkan kematian isteri dan kandungan, di bawah Seksyen 316.
  • Tiada jaminan; tarikh sebutan semula ditetapkan, dengan permintaan jurubahasa Myanmar dan laporan bedah siasat diperlukan.

Rashidullah Mong Fumiyah, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, dia yang bekerja sebagai tukang gunting rambut didakwa membunuh Fazanah Eskar, 34, pada awal pagi 13 Februari di sebuah rumah di Kampung Makam, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 22 April untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan bedah siasat dan kimia.

Bagi pertuduhan kedua, Rashidullah didakwa menghentak kepala kiri isterinya menggunakan lesung batu hingga menyebabkan kematian mangsa serta anak dalam kandungannya di lokasi dan pada tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 316 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Rashidullah memberitahu faham akan pertuduhan dan hukuman dihadapinya, namun ketika ditanya sama ada mengaku bersalah atau tidak, lelaki itu hanya menangis memohon maaf.

Mahkamah menetapkan 18 Mac untuk sebutan semula kes bagi kehadiran jurubahasa Myanmar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar manakala Rashidullah tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, polis mengesahkan seorang wanita hamil tujuh bulan ditemukan maut di dalam bilik rumah sewa dipercayai dibunuh suaminya menggunakan lesung batu dalam kejadian kira-kira 3 pagi.- BERNAMA