fb fb fb fb fb

Lelaki OKU maut rempuh lori tangki

Keadaan kereta yang dipandu mangsa, Mohd Zakaria Abdullah, 39, dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lori tangki berhampiran Kampung Rusila, Marang pagi tadi

MARANG, 29 September- Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh sebuah lori tangki di Kilometer 12, Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Rusila di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Marang, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mohd Razman Setapa berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 9.40 pagi ketika mangsa, Mohd Zakaria Abdullah, 39, dalam perjalanan dari Bandar Marang ke Kuala Terengganu.

Menurutnya, kereta yang dipandu mangsa dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori tangki tersebut.

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Zafelee Mohamad dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marang berkata tujuh anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian dan mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kereta.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

2909 KT MAUT OKU 2
FOTO PDRM MARANG

SITI AISHAH MD ISA