fb fb fb fb fb

Lelaki OKU didakwa sebabkan kematian guru

(S.Jelatheswaran didakwa sebabkan kematian guru)

KULIM, 29 September- Seorang penjaga stor yang juga orang kurang upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kulim atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang guru di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas , Pulau Pinang pada Julai lalu.

S.Jelatheswaran, 37 tahun, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mirza Mohamad.

Mengikut kertas pertuduhan, Jelatheswaran didakwa dengan niat mencetus bencana hingga menyebabkan kematian mangsa N. Kumar, 54 tahun, di pondok batu belakang sebuah rumah di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas Pulau Pinang antara jam 4.30 petang 27 Julai 9.50 pagi 28 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian 28 Julai lalu, seorang guru lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kulim.

Bagaimanapun, kematian guru pendidikan moral sebuah sekolah di Pulau Pinang itu menimbulkan keraguan sama ada dia menjadi mangsa jenayah atau sebaliknya selepas dibawa tiga lelaki ke hospital terbabit pada pukul 9.15 malam.

Hasil siasatan polis membawa kepada penahanan wanita berusia 41 tahun yang bekerja sebagai penolong pegawai di sebuah agensi kerajaan dan mangsa dipercayai terbabit dalam pergaduhan dengan beberapa lelaki di sebuah restoran kerana dia didakwa menyimpan gambar bogel suspek dalam telefon bimbitnya.


(S.Jelatheswaran dibawa ke Mahkamah Sesyen Kulim)

Media Baharu