Lelaki maut rempuh pembahagi jalan

FOTO IPD KOTA SETAR

ALOR SETAR, 22 Februari – Hasrat seorang pekerja sebuah restoran antarabangsa terkemuka untuk berbuka puasa bersama keluarga di rumahnya tidak kesampaian apabila beliau maut selepas terlibat dalam kemalangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa, Muhamad Adam Aiman Abd Hamid, 28, maut selepas terbabas dan rempuh pembahagi pejalan kaki di Lebuhraya Darul Aman.
  • Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.25 malam di lampu isyarat hadapan Sekolah Menengah Agama Darussadah, Kepala Batas.
  • Pasukan perubatan Hospital Sultanah Bahiyah mengesahkan kematian akibat kecederaan badan dan kepala.
  • Kes dibawa ke Unit Forensik HSB dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemalangan berlaku di lampu isyarat hadapan Sekolah Menengah Agama Darussadah, Lebuhraya Darul Aman, Kepala Batas, Alor Setar, lewat petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.25 petang itu, mangsa, Muhamad Adam Aiman Abd Hamid, 28 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Mahsuri, Bandar Darul Aman, Jitra, untuk berbuka puasa.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa gagal mengawal motorsikalnya yang dipercayai ditunggang secara laju sebelum terbabas melanggar pembahagi pejalan kaki yang berada di tengah jalan,” katanya.

Pasukan Perubatan daripada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar yang hadir ke tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia akibat kecederaan di badan dan kepala.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSB untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.