fb fb fb fb fb

Lelaki maut rakan parah, motosikal dihempap pokok

SEREMBAN, 25 Disember- Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dihempap pokok yang tumbang di Jalan Seremban-Tampin, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata, penunggang, Muhammad Ikram Mohd Yazid, 21, yang beralamat di Jalan Kampung Perigi Jernih, Rembau, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu.

Nanda berkata, pembonceng yang dikenali sebagai Ammar Zarif Mohamad Junaidi, 18, beralamat di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor pula berada di zon merah Hospital Rembau akibat kecederaan parah di bahagian badan.

“Kemalangan berlaku semasa motosikal jenis Yamaha FZ150 dinaiki mereka bergerak dari arah Senawang menuju ke Rembau. Setibanya di tempat kejadian, terdapat satu pokok di kiri bahu jalan tumbang lalu menghempap motosikal berkenaan menyebabkan kedua-duanya terperosok ke bawah pokok itu.

(Foto fail)

“Lokasi kejadian berbentuk jalan lurus dan mempunyai dua lorong berlawanan arah dan keadaan jalan raya gelap tanpa pencahayaan lampu jalan, serta cuaca ketika itu baik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media Baharu