fb fb fb fb fb

Lelaki maut dihempap runtuhan dinding konkrit stor

FOTO JBPM SARAWAK

KUCHING, 24 Februari- Seorang lelaki maut akibat dihempap runtuhan bangunan di Jalan Tan Sri Ong Kee Hui, Kuching pagi tadi.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi, PGO Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, mangsa dikenal pasti sebagai David Chin Zek Hong, 27 tahun.

PGO memaklumkan bangunan yang runtuh merupakan stor di belakang rumah mangsa yang hendak dirobohkan.

Bagaimanapun, dinding konkrit stor telah runtuh dan menghempap mangsa.

PGO menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.08 minit pagi.

Sepasukan enam anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Padungan digegaskan ke lokasi.

Anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari runtuhan tersebut menggunakan peralatan khas dan mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan.

Mayat kemudiannya diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE