ALOR SETAR, 22 Disember - Seorang lelaki ditemukan maut selepas kereta yang dipandunya terjunam ke dalam sungai di Jalan Ampang Jajar, berhampiran Taman Sri Juragan, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Syed Basri Syed Ali berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah mengeluarkan mangsa berusia 28 tahun dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Polis menerima laporan daripada orang awam kira-kira 10.20 pagi, manakala mangsa berjaya dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar sekitar 2.50 petang.
"Menurut saksi, sebuah kereta berwarna putih dilihat bergerak lurus di atas padang rumput sebelum melanggar besi penghadang dan seterusnya terjunam ke dalam sungai," menurut kenyataan itu.
Mangsa dikenal pasti sebagai Ooi Cheah Jhun, yang beralamat di Taman Anggerik 6, Jalan Tunku Abdul Rahman, Alor Setar.
Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah, termasuk kesan luka atau kecederaan mencurigakan.
Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kerosakan pada tiang penghadang tebing sungai, dipercayai akibat impak pergerakan kenderaan pada kelajuan tinggi.
Bagaimanapun, kesan tayar di atas padang rumput yang lurus menunjukkan tiada tanda-tanda mangsa hilang kawalan. Menurut saksi kejadian, kereta mangsa berhenti seketika di atas padang rumput sebelum bergerak laju ke arah sungai.
Saksi juga memaklumkan bahawa mangsa kelihatan tidak memberikan sebarang tindak balas walaupun dipanggil selepas kenderaan itu terjunam ke dalam sungai.
Menurut kenyataan polis, hasil temu bual dengan waris mendapati ibu bapa mangsa berada di Pulau Pinang pada hari kejadian, manakala mangsa dipercayai berada bersendirian di rumah sebelum insiden berlaku.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat, dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).