fb fb fb fb fb

Lelaki hilang di Song ditemukan lemas di Sungai Rajang

FOTO HIASAN

SIBU, 10 Mac- Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Song, Kapit sejak Jumaat lalu ditemukan lemas di Sungai Rajang berhampiran Kubu Emma, Kanowit, petang tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Andy Alie, berkata mayat Bujang Zainuddin, 44, ditemukan terapung kira-kira 56 kilometer dari kediamannya di Nanga Nyimoh, Sungai Katibas.

Menurutnya, panggilan kecemasan diterima pada pukul 2.14 petang, sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, pasukan bersama pihak polis menemukan mangsa terapung di Sungai Rajang. Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Andy memaklumkan operasi khas itu ditamatkan pada pukul 5 petang.

Mangsa yang dipercayai mengalami masalah kesihatan dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas usaha mencarinya sejak Jumaat tidak membuahkan hasil.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE