JOHOR BAHRU, 19 November- Golongan lelaki harus berani tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya menjadi mangsa gangguan seksual.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata perkara itu diberi penekanan memandangkan golongan lelaki berasa malu atau takut untuk berbuat demikian.
Berdasarkan laporan diterima menerusi program Jerayawara Kasih KPWKM di seluruh negara sejak 29 Mei lalu, 1,317 mangsa gangguan seksual dengan 368 atau 28 peratus daripadanya adalah mangsa lelaki.
"Sebenarnya lebih banyak perempuan yang melapor berbanding lelaki.
"Tetapi kami dapat bukti bahawa ramai lelaki yang menjadi mangsa.
"Sebab itu kita ada Pusat Sokongan Sosial Setempat di sana jadi kita buka melalui unit kaunseling kita di luar sana, daripada situ kita dapat tahu ramai juga lelaki," kata Nancy selepas Program Jerayawara Kasih KPWKM @Advokasi Anti Gangguan Seksual Negeri Johor di sini.
Menurutnya lagi, kebanyakan kes gangguan seksual berlaku di pejabat dan mangsa terlibat tidak berani untuk melapor kerana pelaku adalah orang yang lebih berkuasa.
Namun dengan Tribunal Anti Gangguan Seksual yang bakal diwujudkan KPWKM kelak akan membolehkan mangsa mendapat keadilan sewajarnya.