fb fb fb fb fb

Lelaki ditemui lemas selepas diserang sawan

Foto fail

KUALA NERANG, 6 September - Seorang lelaki berusia 30 tahun disahkan lemas di Empangan Tasik Pedu hari ini selepas dipercayai diserang sawan dan terjatuh ke dalam tasik.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Mulkiaman Manzar, mengesahkan kejadian berlaku sekitar pukul 6.50 pagi apabila pihaknya menerima laporan orang ramai mengenai mangsa yang terjatuh ke dalam tasik ketika sedang memukat ikan bersama rakannya.

Menurut DSP Mulkiaman, mereka mula memukat ikan dengan menaiki bot pada pukul 4 pagi dan kemudiannya kembali ke tebing untuk berehat.

Namun, sejam selepas itu, mereka turun semula ke tasik untuk menarik pukat, di mana mangsa tiba-tiba diserang sawan dan terjatuh ke dalam air.

Rakannya yang cuba menyelamatkan mangsa, terjun ke dalam tasik gagal menemuinya dan kemudian menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap dan Pasukan Bomba dan Penyelamat dimulakan pada pukul 8 pagi dan mangsa ditemui pada pukul 11.45 pagi.

Mayat mangsa telah dibawa ke tebing sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Kes ini kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Difahamkan, mangsa yang bekerja sendiri adalah seorang peniaga ikan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Aminuddin Mad Khozari, mengesahkan penemuan mayat mangsa semasa proses pencarian di kawasan memukat ikan.

Trainee