PONTIAN, 10 November-Daerah Pontian di Johor dijangka meraih manfaat besar hasil pelaksanaan Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), bagi jajaran Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembinaan laluan itu bakal meliputi daerah Batu Pahat dan Tanjung Piai, Pontian, sebelum berakhir di Gelang Patah, Iskandar Puteri.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, antara impak besar melibatkan pelebaran jalan-jalan utama, yang sekali gus meningkatkan kelancaran trafik dan akses kepada daerah tersebut.
"WCE ini akan sampai ke Gelang Patah. Dia akan melalui Pontian. Jalan di Pontian dia akan jadi empat lorong pada suatu masa ketika nanti.
"Apabila dia sambung ke Selatan, dia akan melalui Batu Pahat, Tanjung Piai sampai ke Gelang Patah.
"Ini merupakan satu perubahan secara besar-besaran yang akan berlaku", katanya demikian selepas Majlis Perasmian Malaysia Iconic Rally Championship 2024 di sini.
Projek WCE melibatkan Negeri Selangor telah selesai, dan akan diteruskan ke Negeri Sembilan dan Melaka.
Pembinaan Lebuhraya WCE Banting - Gelang Patah itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025, bulan lepas.
Ia sebagai laluan alternatif buat pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), yang kerap berdepan isu kesesakan lalu lintas.