Lebih RM13 bilion Wang Tak Dituntut direkodkan sehingga 31 Januari

 Foto hiasan

TANAH MERAH, 7 Mac – Jumlah baki Wang Tak Dituntut (WTD) yang direkodkan oleh Jabatan Akauntan Negara sehingga 31 Januari lalu, lebih RM13 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kira-kira RM7 bilion masih berada dalam akaun amanah dan tersedia untuk dituntut oleh pemilik yang sah.
  • Baki lain telah dilaraskan ke dalam akaun hasil disatukan tetapi akan dibayar balik jika pemilik atau waris mengemukakan tuntutan.
  • Jabatan Akauntan Negara giat menganjurkan karnival, bas bergerak dan program semakan tanpa melantik ejen bagi mewakili penuntut.

Akauntan Negara, Datuk Zainani Jusoh berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM7 bilion masih berada dalam akaun amanah tak dituntut.

Beliau berkata, baki selebihnya telah dilaraskan ke dalam akaun hasil disatukan kerana tidak dituntut oleh pemilik atau waris dalam tempoh 10 tahun.

Bagaimanapun katanya, wang yang telah dilaraskan itu akan dibayar balik sekiranya ada permohonan tuntutan daripada pemilik atau waris.

“Jumlah keseluruhan Wang Tidak Dituntut yang dipegang oleh Jabatan Akauntan Negara sebagai pemegang amanah kini mencecah RM13 bilion. Daripada jumlah itu, kira-kira RM7 bilion masih tersedia untuk dituntut oleh pemilik yang sah.

“Selebihnya telah dituntut atau telah melepasi tempoh tertentu sebelum diselaraskan ke akaun Hasil Kerajaan.

“Untuk makluman, Jabatan Akauntan Negara tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi mewakili pihak penuntut dalam urusan tuntutan Wang Tidak Dituntut”, katanya.

Beliau berkata, pihaknya giat mengadakan aktiviti dan karnival, selain menyediakan bas bergerak yang menjelajah ke seluruh negeri untuk memudahkan urusan orang ramai menyemak wang yang tak dituntut.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI (KAM) Jabatan Akauntan Negara di Kampung Bukit Merah, Tanah Merah, Kelantan.

Dalam pada itu, Datuk Zainani berkata, pihaknya meneruskan program Kampung Angkat Madani (KAM) buat tahun ketiga bagi JANM.

Beliau berkata, untuk tahun 2024, pihaknya bermula di Nanga Tebat, Lubok Antu, Sarawak diikuti Kampung Minyak Beku, Batu Pahat, Johor pada 2025.

Katanya, untuk tahun ini, pihaknya memilih Kampung Bukit Merah di Tanah Merah, Kelantan dengan peruntukan sebanyak RM500,000 telah diluluskan serta kerja naik taraf dapat dilaksanakan.

Antara projek naik taraf yang akan dilaksanakan melibatkan pembaikan kemudahan dan infrastruktrur Masjid Al Iktikaf Ibnu Sina, Masjid Iktikaf Pakteh, pembelian kabin untuk pasukan Rukun Tetangga, baik pulih jalan kampung, pembesaran longkang, pemasangan lampu solar jalan dan pembaikan saluran air.

Beliau berharap kerja-kerja tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin agar penduduk Kampung Bukit Merah dapat menikmati pembaharuan yang dilaksanakan.