JOHOR BAHRU, 4 Oktober- Lebih banyak pusat jagaan orang kurang upaya (OKU) diperlukan di negara ini untuk menampung keperluan yang semakin meningkat pada ketika ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata sehingga kini, hanya terdapat 11 pusat jagaan OKU berdaftar yang direkodkan di seluruh negara.
Beliau turut menyarankan agar pusat jagaan yang tidak berdaftar segera membuat pendaftaran sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
Pihaknya akan membantu mana-mana pusat jagaan untuk memenuhi kriteria pendaftaran yang ditetapkan, terutamanya bagi aspek keselamatan.
"Memang perlu diperbanyakkan kerana sesetengah mereka menghadapi masalah disebabkan keperluan daripada bomba. Namun, pihak bomba lebih menekankan aspek keselamatan.
"Oleh itu, mereka perlu mematuhi peraturan, tetapi ramai orang tidak faham. Kadang-kadang mereka berpendapat kerajaan terlalu ketat. Memanglah ketat, kerana keutamaan kita adalah berkaitan keselamatan kanak-kanak yang dijaga di tempat itu," katanya pada sidang media selepas Program Persidangan Keterangkuman Pendidikan Awal Kanak-kanak di sini.
Dalam pada itu, Nancy berkata pembentangan kertas cadangan dalam mesyuarat kabinet yang melibatkan penjagaan dan masa depan lebih 500 anak asuhan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) telah ditangguhkan.
Beliau menjelaskan bahawa penangguhan itu disebabkan oleh penambahan maklumat dan tangkapan baharu yang perlu diteliti.
"Keadaan terkini melibatkan pelajar ini yang belajar bersama-sama kita, KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).
"Perkara baharu ini perlu dimasukkan dan memerlukan perancangan yang baharu. Jadi, diharapkan minggu depan semua sudah siap dan saya boleh bentangkan," katanya.
Terdahulu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuka 11 rumah selamat untuk menempatkan seramai 572 mangsa yang diselamatkan dalam Operasi Global setakat ini.