fb fb fb fb fb

Lebih 80,000 penduduk dipindahkan, situasi banjir di Kelantan semakin buruk

Foto APM Bachok

TUMPAT, 30 November- Situasi banjir di Kelantan bertambah buruk dengan bilangan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) melebihi 80,000 orang.

Setakat pukul 6.00 pagi tadi 278 PPS beroperasi di 10 jajahan terkesan seluruh negeri itu.

Dalam pada itu lebih banyak PPS dijangka akan dibuka bagi memberikan pelindungan kepada penduduk terjejas banjir terutama di jajahan Pasir Mas.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan Pasir Mas kekal jajahan paling terkesan, dengan jumlah penduduk dipindahkan seramai 24,890 individu.

Mereka terdiri daripada 8,472 keluarga berlindung di 61 PPS.

Seterusnya diikuti Tumpat iaitu seramai 13,429  individu yang kini berada di 26 PPS.

Di Kota Bharu juga menunjukkan peningkatan mendadak jumlah penduduk yang dipindahkan setakat ini seramai 10,885 orang membabitkan 3,134 keluarga di 42 PPS.

Sementara itu, bacaan paras air di 10 sungai utama di Kelantan melepasi paras bahaya berbanding tengah malam tadi.

Sungai berkenaan ialah Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Lanas di Air Lanas Jeli, Sungai Kelantan di Kusial Baru Tanah Merah dan Sungai Kelantan di Kampung Temangan Machang.

Lain-lain sungai ialah Sungai Golok di Rantau Panjang Pasir Mas, Sungai Kelantan di Tambatan Diraja Kota Bharu, Sungai Golok di Kuala Jambu Tumpat, Sungai Melor di Jambatan Melor Bachok dan Sungai Semerak di Pasir Puteh.

3011 UPDT BANJIR KELANTAN 2Foto JBPN Terengganu

Di Terengganu, penduduk terjejas banjir juga menunjukkan peningkatan kepada 34,682 setakat pukul 6.00 pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan kesemuanya terdiri daripada 9,562 keluarga ditempatkan di 327 PPS negeri itu.

Ia melibatkan lapan daerah iaitu Kuala Terengganu, Kemaman, Besut, Dungun, Marang, Setiu, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.

3011 UPDT BANJIR KELANTAN 3
Foto APM Alor Gajah

Di Melaka sebanyak 26 kawasan terjejas banjir sekali gus merekodkan peningkatan kepada 207 penduduk terjejas daripada 37 keluarga setakat tengah malam tadi.

Enam PPS dibuka di negeri itu melibatkan tiga daerah iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

Di daerah Alor Gajah empat PPS beroperasi iaitu PPS Balai Raya Kampung Gadek, PPS Japerun Durian Tunggal, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Jernih.

Manakala di Melaka Tengah dan Jasin masing-masing sebuah PPS dibuka di setiap daerah iaitu PPS Balai Raya Paya Ikan dan PPS SK Parit Penghulu.

Di Selangor seramai 472 penduduk terjejas banjir berada di dua PPS di Klang.

Menurut Info Bencanan JKM ia melibatkan PPS SK Sungai Binjai yang menempatkan 451 penduduk terjejas dan Balai MPKK Bukit Kapar (22).

Di Negeri Sembilan pula seramai 2,194 penduduk terjejas banjir di negeri itu melibatkan 619 keluarga di empat daerah.

Sebanyak 22 PPS dibuka melibatkan daerah Jempol, Kuala Pilah, Port Dickson dan Tampin.

Tampin terus merekodkan bilangan penduduk terjejas paling ramai di negeri itu iaitu 1,548 diikuti Kuala Pilah (327), Jempol (298) dan Port Dickson (21).

 

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI