
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching
KULAI, 7 Mac -Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menamatkan perkhidmatan 70,122 kad SIM prabayar, pada tahun lalu, kerana dipercayai menyalahgunakan perkhidmatan dan menghantar mesej meragukan.
- SKMM mengemas kini garis panduan; warga asing dan pelancong kini dibenarkan membeli dua kad SIM prabayar bagi setiap telco.
- Sebelum ini dibenarkan hingga lima kad SIM per telco; perubahan dibuat selepas berlaku penyalahgunaan kad prabayar.
- Kempen Internet Selamat @ Bazaar Ramadhan 2026 ditekankan sebagai usaha kesedaran berterusan untuk memperkasa keselamatan pengguna berkaitan teknologi dan AI.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah itu meningkat hampir sepuluh kali ganda, berbanding 7,409 kad SIM yang
ditamatkan perkhidmatan pada 2024.
“Sebab itu kami telah mengemas kini garis panduan. Kini, bagi warga asing atau pelancong yang datang dari luar negara, mereka hanya dibenarkan membeli dua kad SIM prabayar bagi setiap syarikat telekomunikasi (telco).
“Sebelum ini, mereka dibenarkan membeli sehingga lima kad SIM prabayar bagi setiap telco. Namun, langkah itu diubah selepas didapati terdapat pihak yang menyalahgunakan kad SIM prabayar tersebut,” katanya kepada pemberita pada program Kempen Internet Selamat @ Bazaar Ramadhan 2026 di Bazaar Temenggong, di sini.
Selain itu, Teo turut menegaskan, Kempen Internet Selamat @ Bazaar Ramadhan 2026 perlu menjadi program kesedaran berterusan, bagi memperkasa keselamatan pengguna di alam maya.
Katanya, langkah itu penting susulan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) yang kini mudah diakses dan berpotensi membawa kesan negatif sekiranya pengguna tidak mempunyai kesedaran yang mencukupi.