fb fb fb fb fb

Lebih 700 kanak-kanak didiagnosis kanser setiap tahun - KKM

Lukanisman Awang Sauni

KUALA LUMPUR, 1 Mac- Lebih 700 kanak-kanak berumur bawah 15 tahun didiagnosis dengan kanser setiap tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan (KKM), Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata sejajar dengan tema Program Karnival dan Kolokium National Childhood Cancer Alliance (NCCA) 2024 iaitu "Ketahanan dan Keberanian: Membangun Kembali Kehidupan Pasca Kanser Kanak-Kanak", perjalanan yang dilalui pesakit-pesakit kanser membuktikan kekuatan dan semangat merupakan kunci utama mereka.

"Melihat kepada jumlah berikut, KKM akan berusaha untuk mencari kaedah terbaik bagi menambah baik dan memperluas fasiliti kemudahan kesihatan yang sedia ada. Usaha ini amatlah penting supaya kita dapat membantu meningkatkan kualiti hidup kanak- kanak yang menghidapi penyakit ini, sekali gus memastikan masyarakat celik akan kesihatan serta pendidikan kanser.

"Kepada pesakit-pesakit kanser dan juga terutama sekali kepada kanak-kanak yang kita raikan, saya berharap agar penjaga kanak-kanak ini sentiasa bersemangat untuk memberikan perhatian dan juga memberikan masa mereka untuk menjaga dan juga mendidik dan juga kepada kanak-kanak, sudah pasti mereka kita anggap sebagai kanak-kanak yang biasa, kanak-kanak yang perlukan kasih sayang, perlukan pembelajaran dan juga perlu bermain seperti kanak-kanak biasa," katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas merasmikan "Program Karnival dan Kolokium National Childhood Cancer Alliance 2024" di Taman Tema Berjaya Times Square di sini.

Terdahulu, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) mengadakan sebuah himpunan terbesar dalam negara, melibatkan lebih 200 kanak-kanak pesakit kanser, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Lukanisman turut menyampaikan anugerah Wira NCCA kepada golongan profesional dan sukarelawan bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam meringankan beban ditanggung keluarga dan pesakit kanser.

 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM