fb fb fb fb fb

Lebih 700,000 pelajar perempuan diberi suntikan HPV sebelum cuti sekolah

Datuk Lukanisman Awang Sauni

PUCHONG, 21 Mei- Seramai lebih 700,000 pelajar perempuan tingkatan 1 hingga 4 bakal diberi suntikan vaksin papillomavirus manusia (HPV) sebelum cuti penggal pertama persekolahan bermula.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, jumlah tersebut merupakan bilangan pelajar yang belum mendapat suntikan dari tahun 2021 hingga tahun ini.

Menurut beliau, lebih dua juta pelajar perempuan bakal mendapat manfaat daripada program tersebut sejak dilaksanakan pada tahun 2010.

"Bermula Mei ini kita akan mempunyai kira-kira 229,000 dos yang akan disuntik kepada setiap pelajar perempuan. Seterusnya pada bulan Ogos dan September.

"Jumlah vaksin yang ada ialah 820,000 dos bermaksud kita mempunyai dos yang mencukupi bagi memberikan imunisasi HPV kepada lebih 719,000 pelajar perempuan," katanya selepas menyempurnakan program Pra- Pelancaran Pemberian Imunisasi HPV Catch-Up kepada murid perempuan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sini.

Objektif utama penganjuran program tersebut adalah bagi melindungi remaja perempuan daripada jangkitan Papillomavirus manusia (HPV) yang boleh menyebabkan kanser serviks.

Setiap pelajar hanya perlu menerima satu dos vaksin sahaja seperti yang diputuskan mengikut Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI