GUA MUSANG, 10 Oktober-Minat rakyat Kelantan kepada membaca masih tinggi apabila seramai 68,919 pengunjung direkodkan mengunjungi Perpustakaan Awam secara fizikal di seluruh negeri berkenaan dalam tempoh sembilan bulan pada tahun ini.
Pengarah Perpustakaan Awam Negeri Kelantan, Diana Melati Mohamed berkata, jumlah yang direkodkan itu membabitkan tujuh Perpustakaan Awam Cawangan (PAC), tiga perpustakaan desa dan satu Perpustakaan komuniti.
"Unjuran itu saya rasa semakin meningkat. Pada September 2024 telah mencapai seramai 68, 919 pengunjung.
"Ini merangkumi pengunjung di Perpustakaan Awam Kelantan, Perpustakaan Cawangan yang kita ada tujuh cawangan, perpustakaan Desa dan Perpustakaan komuniti di AEON Mall.
"Saya rasa jumlah pengunjung akan lebih ramai menjelang cuti persekolahan, cuti umum dan cuti am kebanyakan ramai yang hadir ke perpustakaan. Pembukaan hari Sabtu beri impak besar pada pustaka sendiri. Para pelajar boleh luangkan masa di Perpustakaan Awam pada hari cuti. Ibu bapa boleh mengajak anak-anak membaca buku ke perpustakaan", katanya di sini.
Ujar Diana Melati lagi, pada tahun ini juga pihaknya mendapat peruntukan sebanyak RM80,000 daripada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan bagi melaksanakan aktiviti dan program di Perpustakaan Awam seluruh negeri.
Pada tahun lalu lebih 83,000 pengunjung direkodkan berkunjung ke perpustakaan di seluruh Kelantan.