Lebih 66% kebakaran hutan di Kampung Saei dipadam

Baki 4.94 ekar kawasan yang masih terbakar dalam proses pemadaman

DARO, 6 April – Lebih 66 peratus kebakaran di kawasan hutan di tepi jalan utama Daro-Semop di Kampung Saei berjaya dipadamkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • 9.88 ekar daripada 14.83 ekar kawasan hutan yang terbakar telah dipadamkan.
  • Baki 4.94 ekar masih terbakar dan sedang dalam proses pemadaman.
  • Operasi memasuki hari ketiga melibatkan empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat tempatan.
  • Pemadaman menggunakan teknik total flooding untuk memastikan api padam sepenuhnya; orang ramai dinasihatkan berhati-hati.

Ia melibatkan kawasan seluas 9.88 ekar daripada keseluruhan 14.83 ekar hutan yang terbakar sejak Sabtu lalu.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, baki 4.94 ekar hutan yang masih terbakar dalam proses pemadaman.

Operasi yang memasuki hari ketiga hari ini melibatkan empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro.

Kerja pemadaman menggunakan teknik “total flooding” bagi memastikan api dapat dipadamkan sepenuhnya, sekali gus mengelakkan kebakaran berulang.

Menurut JBPM, kejadian dipercayai berpunca daripada aktiviti berkebun di kawasan berkenaan.

Cuaca panas serta berangin sedikit sebanyak memberi cabaran kepada pasukan bomba dalam mengawal api.

Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati apabila menjalankan aktiviti ketika cuaca panas bagi mengelakkan kejadian kebakaran tidak terkawal.