LABUAN, 6 September - Lebih 5,000 umat Islam memeriahkan sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah bersamaan 2025 Masihi peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung di Dataran Labuan.
Sambutan tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh; Komander Pangkalan Udara Labuan, Brigedier Jeneral Hamidi Hashim; dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib.
Sebanyak 92 kontinjen menyertai pertandingan sepanduk dan perarakan membabitkan tujuh kategori, dengan penyertaan meningkat berbanding tahun lalu.
Antara kategori dipertandingkan ialah agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah menengah, sekolah rendah, pasukan beruniform, serta kampung.
Pertandingan sepanduk kategori kampung dimenangi Kampung Kilan, manakala kategori jabatan dan agensi kerajaan disandang Perbadanan Labuan.
Kategori swasta, badan berkanun dan pertubuhan pula dirangkul UMNO Labuan.
Bagi pertandingan perarakan, kategori kampung dimenangi Surau Kampung Rancha-Rancha Laut, kategori jabatan dan agensi kerajaan dimenangi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan, manakala kategori swasta, badan berkanun dan pertubuhan dimenangi Pusat Pengajian An-Naba.
Kategori pasukan beruniform menyaksikan kedua-dua kemenangan diraih oleh pasukan Polis Diraja Malaysia Daerah Labuan.
Pemenang bagi semua kategori menerima hadiah wang tunai dan sijil penghargaan.