fb fb fb fb fb

Kementerian Pertahanan cari alternatif bagi pesawat F/A-18 Hornet

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika sidang media di Pasir Gudang. - Foto BERNAMA.

JOHOR BAHRU, 6 September - Kementerian Pertahanan akan mempertimbangkan alternatif lain, susulan kelewatan penyerahan pesawat F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait yang masih tertangguh.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan segera perlu diambil bagi memastikan kesiapsiagaan pertahanan udara dan kedaulatan negara tidak terjejas.

“Berapa lama pula kita boleh tunggu bagi keperluan kita? Kalau kita tunggu tanpa buat apa-apa untuk beli lain, ia tidak memihak kepada kita. Atas sebab itu, kita perlu fikir ada pilihan lain supaya pertahanan kita tidak terjejas,” katanya.

Pesawat berkenaan hanya boleh diserahkan kepada Malaysia selepas Kuwait menerima jet baharu dari Amerika Syarikat (AS). Namun, penyerahan jet pejuang dari AS ke Kuwait ditangguhkan dan tarikhnya masih belum ditetapkan.

Datuk Seri Mohamed Khaled berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Penyampaian Zakat Wakalah BH Petrol di Pasir Gudang, hari ini.

Beliau turut memaklumkan pembelian 18 jet pejuang FA-50 daripada Korea Aerospace Industries (KAI) dijangka mula diterima pada 2027 untuk menampung keperluan operasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

TUN JULIA MOHD TAHIR