SAMARAHAN, 6 September – Kerajaan mahu kontraktor tempatan mengadaptasi sistem binaan baharu, Modular Precast System (MPS), bagi mempercepatkan tempoh penyiapan projek pembinaan di negara ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sistem berasaskan bongkah acuan itu terbukti kukuh dan telah digunapakai di negara maju seperti China.
“Sebagai contoh, tempoh penyiapan sesebuah bangunan boleh dipendekkan daripada tiga tahun kepada hanya setahun. Perkara ini memberi manfaat besar kerana kita dapat membina negara dengan lebih pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Projek Pembinaan dan Penyiapan Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan Prima (PKP) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Samarahan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau mahu Lembaga Pembangunan Industri Binaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji kebolehlaksanaan serta memperkenalkan piawaian baharu bagi sistem berkenaan.
Setakat ini, bangunan utama Hospital Pengajar Unimas telah mencapai 66.17 peratus siap, manakala fasa pertama projek yang menempatkan blok 300 katil telah siap sepenuhnya pada Jun tahun lalu.
Keseluruhan projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada November tahun depan dengan kos RM485.99 juta.
Dalam pada itu, Ahmad turut memaklumkan bahawa projek Hospital Petra Jaya kini mencapai 81.6 peratus siap.
Katanya, hospital yang menelan kos RM410 juta itu dijangka mula beroperasi selepas Februari tahun depan.
“Kawasan ini akan mempunyai dua fasiliti kesihatan baharu yang memberi manfaat besar kepada masyarakat Kuching dan sekitarnya,” jelasnya.
Hospital Petra Jaya sebelum ini dijadual siap Ogos lalu, namun mengalami kelewatan sehingga kerajaan melantik kontraktor penyelamat pada Oktober 2021.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan