KUALA LUMPUR, 18 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan pembunuhan lebih 400 rakyat Palestin di Gaza sebagai tindakan keji.
Beliau menerusi hantaran Facebook mengutuk serangan kejam berkenaan berikutan penduduk di Gaza terkepung tanpa berpeluang untuk menyelamaatkan dan mempertahankan diri.
"Pengeboman terbaru Israel ke atas Gaza, membunuh lebih 400 rakyat Palestin, adalah tindakan keji dan tidak dipertahankan.
"Pembunuhan beramai-ramai penduduk yang terkepung tanpa diberikan peluang untuk menyelamatkan dan mempertahankan diri," menurut hantaran itu.
Perkara itu seakan sengaja mencipta kesukaran berterusan sekali gus mengganggu rundingan gencatan senjata.
Perdana Menteri turut menyeru masyarakat antarabangsa dalam memastikan rejim Zionis Israel bertanggungjawab dan menuntut penamatan segera atas kekejaman yang dilakukan.