NIBONG TEBAL, 18 April- Seramai 4,037 nelayan berlesen sekitar Pulau Pinang menerima bantuan pukat bernilai RM400 dari kerajaan negeri.
Bantuan secara sekali bayar itu melibatkan peruntukan sebanyak lebih RM1.6 juta.
Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin berkata program tersebut merupakan satu inisiatif terbaik dalam membantu meningkatkan kesejahteraan nelayan.
Malah, ia juga sebagai bukti penghargaan kerajaan negeri di atas usaha nelayan dalam memenuhi keperluan makanan melalui hasil tangkapan laut dan sungai di negeri itu.
Bagi Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin, "bagi bantuan pukat, ia adalah untuk menghargai usaha dan risiko yang diambil nelayan untuk membantu penduduk mendapatkan protein yang murah seperti ikan."
Sementara itu jelasnya, terdapat pelbagai projek lain yang sedang di usahakan dalam mempelbagaikan pendapatan nelayan.
"Ramai nelayan kata ikan berkurangan, jadi kita ada projek-projek lain juga yang kita usahakan macam kebun kerang. Sejumlah RM2.7 juta telah diperuntukan serta pembinaan tiga jeti pendaratan kerang. Jadi, apa yang kita buat adalah untuk mempelbagaikan pendapatan nelayan."
Bagi nelayan seperti Rosli Yusof, "saya mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa kerana memberi wang tunai, selain itu kerajaan pusat bagi RM200 untuk nelayan di pulau pinang ini."
Selain itu, Sulaiman Awang Kecil berpendapat, "raya kali ini boleh beli kuih muih sikit untuk anak-anak dan tetamu yang datang ke rumah."
Bantuan disumbangkan menerusi Majlis Penyerahan Bantuan Pukat Negeri Pulau Pinang 2023 di sini.
(Norlela Ariffin)