fb fb fb fb fb

Lebih 300 peserta sambut Hari Wanita Antarabangsa 2024 di Labuan

Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 di Labuan

LABUAN, 28 Februari- Lebih 300 peserta hadiri Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan bertempat di Kompleks Darul Kifayah.

Program itu anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Pembangunan Wanita di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebagai simbolik menghargai wanita bersempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang akan disambut pada 8 Mac setiap tahun.

“Wanita Dijulang, Negara Gemilang” merupakan tema Sambutan Hari Wanita Antarabangsa bagi tahun ini. Tema itu menekankan akan peri pentingnya mewujudkan budaya inklusif dan kesaksamaan gender di semua peringkat.

Menurut Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan Noorfaizah Asmuni, pelbagai inisiatif disusun atur KPWKM bagi mencapai agenda kesaksamaan gender, memaksimumkan potensi dan peranan wanita dalam pelbagai aspek pembangunan negara.

Antaranya, kempen hentikan keganasan terhadap wanita dan advokasi antigangguan seksual di bawah inisiatif Toleransi Sifar Keganasan Terhadap Wanita (ASSERT), Program Literasi Perundangan dan Hak Wanita (IRIS) serta program Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita (MATAHARI).

Justeru katanya, wanita perlu bangkit selaras dengan aspirasi masyarakat MADANI, mampu bersaing seterusnya mencapai sasaran 60 peratus kadar penyertaan tenaga buruh wanita dalam negara.

Antara pengisian program adalah ceramah kepimpinan wanita, pameran reruai dan kuiz interaktif.

Program mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan yang turut menyumbang dana RM10,000 kepada Persatuan Wanita Labuan (HAWA) di bawah Skim Aktiviti Dakwah dan Kebajikan.

ROSLINA BINTI DIN