Lebih 3.6 juta belia sertai program Rakan Muda, melebihi sasaran

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Februari – Keberkesanan Program Rakan Muda akan dinilai secara lebih menyeluruh berdasarkan impak dan keberhasilan program itu kepada golongan belia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penilaian Rakan Muda akan fokus pada impak dan keberhasilan terhadap pembangunan belia, bukan sekadar angka.
  • Penilaian merangkumi penglibatan aktif belia, pembangunan kemahiran, pengukuhan sahsiah dan jaringan komuniti.
  • Program akan diperbaiki untuk menekankan pembinaan sahsiah, pemerkasaan kemahiran dan kepimpinan belia.
  • Rakan Muda disasarkan kekal relevan dan berimpak tinggi sebagai platform pembangunan holistik, bukan hanya hiburan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata penilaian tersebut merangkumi tahap penglibatan aktif belia, pembangunan kemahiran, pengukuhan nilai sahsiah dan keberhasilan jaringan komuniti.

Jelasnya, kejayaan Rakan Muda tidak wajar dinilai berdasarkan angka atau kuantiti semata-mata, Sebaliknya, perlu mengambil kira sejauh mana program tersebut memberi impak positif terhadap pembangunan belia di negara ini.

“Pada tahun 2025, 41.26 peratus atau 3.691 juta belia telah menyertai program Rakan Muda berbanding sasaran 25 peratus atau 2.415 juta belia daripada keseluruhan 9.66 juta belia di negara ini. Sekali gus menunjukkan program diperkenalkan semula pada 2023 itu mendapat tahap capaian yang meluas.

“Pendekatan yang kita guna pakai dalam program Rakan Muda bukan berdasarkan apa yang diinginkan kerajaan, tetapi berlandaskan keinginan anak muda supaya hasil yang lebih baik dapat dicapai,” katanya ketika menjawab soalan ahli parlimen Padang Besar Rushdan Rusmi dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata masih terdapat garis panduan yang perlu diikuti supaya program tersebut mencapai matlamat dalam membentuk sahsiah anak muda menerusi pendekatan yang lebih menarik.

Rushdan meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan pencapaian terkini Program Rakan Muda 2025 termasuk impak dan keberhasilan program tersebut kepada belia hasil daripada peruntukan RM20 juta serta sama ada pendekatan penganjuran akan ditambah baik agar berteraskan pembinaan sahsiah dan kemahiran, bukan hedonisme.

Dr Mohammed Taufiq memaklumkan pelaksananaan Program Rakan Muda akan ditambah baik agar lebih berfokus kepada pembinaan sahsiah, pemerkasaan kemahiran dan kepimpinan belia selaras dengan agenda Malaysia MADANI.

Pendekatan itu bagi memastikan Rakan Muda kekal relevan sebagai platform pembangunan belia yang holistik, berimpak tinggi dan tidak sekadar berorientasikan hiburan semata-mata.