fb fb fb fb fb

Lebih 3,000 penduduk terjejas banjir di tujuh negeri

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Seramai 3,441 penduduk daripada 1,046 keluarga masih terjejas akibat banjir di tujuh negeri.

Menurut Info Bencana JKM, sebanyak 29 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di negeri berkenaan setakat pada pukul 9.41 pagi tadi.

Di Kedah, 2,871 penduduk daripada 890 keluarga terjejas banjir, dengan semua penduduk ditempatkan di 21 PPS negeri itu.

"Daerah yang terlibat termasuk Pendang (512 orang), Kota Setar (1,577 orang), Kubang Pasu (360 orang), Pokok Sena (381 orang), dan Baling (33 orang)," menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, di Perlis, 242 penduduk daripada 75 keluarga terjejas banjir, dengan dua PPS dibuka setakat ini.

"Daerah Kangar menempatkan 235 orang daripada 73 keluarga di Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, manakala daerah Arau menempatkan tujuh orang daripada dua keluarga di SK Arau," menurut kenyataan itu.

Di Sarawak, hanya satu PPS dibuka setakat ini, iaitu di Dewan Masyarakat Roban, menempatkan 105 penduduk daripada 26 keluarga.

Dalam pada itu, di Perak, seramai 136 penduduk daripada 40 keluarga terjejas dengan banjir.

Kesemua penduduk terjejas banjir ditempatkan di dua PPS, iaitu SK Changkat Lobak (71 orang) dan SK Parit Haji Aman (65 orang).

Di Pahang, 70 penduduk daripada 12 keluarga terjejas banjir.

Mereka ditempatkan di Dewan Komuniti Kampung Sungai Ruil, Cameron Highlands.

Di Johor, 17 penduduk daripada 13 keluarga terjejas banjir ditempatkan di PPS SK Seri Bunut.

Di Selangor, hanya satu PPS dibuka di negeri tersebut.

Namun, tiada pemindahan penduduk dicatat di Selangor setakat berita ini ditulis.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM