fb fb fb fb fb

Lebih 3,000 peserta meriahkan sambutan HSN di Perlis

Foto RTM

KANGAR, 11 Oktober - Lebih 3,000 peserta memeriahkan Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dalam program seumpama itu dapat membentuk masyarakat yang cergas dan aktif.

Beliau turut menzahirkan kekaguman terhadap inisiatif Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang menjadikan program kayuhan menjejaki asnaf sebagai rutin mingguan, sekali gus menjadi contoh terbaik dalam mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif secara konsisten.

"Mengambil pedoman Raja Muda Perlis, saya berharap saudara saudari di Perlis ini juga akan cergas bersenam tak kiralah naik basikal ke, berlari ke, lompat tali ke.

"Saya harap kita akan terus mengamalkan budaya hidup bersenam dan pada masa yang sama juga peka terhadap masyarakat sekeliling," katanya.

Beliau memaklumkannya pada Perasmian Sambutan HSN Peringkat Negeri Perlis di Dataran Dato Sheikh Ahmad di sini.

Sambutan yang mengetengahkan lima aktiviti utama iaitu Kayuhan Madani, Larian Ria MADANI, Family Fun dan Fitness Picnic, Neon Sport Night dan pelbagai cabutan bertuah; berlangsung selama tiga hari bermula 10 Oktober hingga 12 Oktober ini.

Selain lima aktiviti utama, Hari Sukan Negara di Perlis turut diserikan dengan lebih 30 aktiviti sampingan, termasuklah Pertandingan Woodball, Gusti Lengan, Pertandingan Teqball, Himpunan Motor dan Auto Show serta Street Soccer.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM