SINTOK, 11 Oktober - Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) Sesi 2024/2025 melahirkan penghargaan dan sokongan penuh terhadap pengumuman Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya inisiatif pengecualian bayaran balik PTPTN bagi graduan kelas pertama daripada isi rumah B40 dan M40 serta pembiayaan penuh pendidikan tinggi kepada keluarga berpendapatan di bawah RM2,705.
Yang Dipertua MPP UUM, Mohamad Amar Aidid Mohd. Zain berkata, langkah itu bukan sekadar berteraskan hal kebajikan mahasiswa, malah merupakan satu revolusi pendidikan bagi memperkukuh prinsip keadilan sosial serta menegaskan bahawa pendidikan tinggi bukan lagi satu keistimewaan, tetapi hak setiap rakyat Malaysia.
Ia mencerminkan keberanian kerajaan dalam menghapuskan halangan ekonomi yang selama ini mengekang potensi anak muda berpendapatan rendah untuk menjejakkan kaki ke universiti.
"MPP UUM melihat dasar ini sebagai manifestasi sebenar Malaysia MADANI untuk membina masa depan negara melalui pelaburan terhadap bakat muda. Dengan pengurangan beban kewangan dan dorongan kepada pencapaian akademik tinggi, inisiatif ini akan melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu, tetapi juga berjiwa besar untuk berbakti kepada masyarakat dan negara," Katanya menerusi kenyataan.
Namun begitu katanya, MPP UUM menegaskan keperluan agar pelaksanaan dasar ini dilaksana secara telus, inklusif dan menyeluruh agar setiap mahasiswa yang layak terutamanya di luar bandar dapat menikmati manfaat itu tanpa keciciran maklumat atau birokrasi yang melambatkan.
Langkah berani kerajaan itu membuktikan bahawa pelaburan terbesar sesebuah negara bukan pada infrastrukturnya semata mata, tetapi pada intelek dan idealisme generasi mudanya.
"Semoga keputusan ini tidak dijadikan sebagai bahan politik murahan mana-mana pihak kerana ini antara permulaan yang baik bagi pelaksanaan menyeluruh selepas ini. Ayuh semua mahasiswa tampil untuk melunaskan hasrat ini bagi peluang kepada generasi selepas kita pula," katanya.