fb fb fb fb fb

Sukan bentuk disiplin, perpaduan dalam kalangan masyarakat

Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh

IPOH, 11 Oktober - Sukan menjadi wadah penting membentuk disiplin dan semangat perpaduan rakyat, sekali gus menyumbang kepada kemajuan negara secara menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kemajuan negara bukan hanya bergantung kepada aspek ekonomi, budaya dan intelektual tetapi turut dipacu melalui penglibatan aktif masyarakat dalam sukan rakyat.

Beliau menyeru semangat perpaduan melalui sukan terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan negara bergerak seiring dalam semua aspek.

"Saya bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, akan meneliti serta membantu sedaya mampu dalam usaha memajukan sukan negara.

"Kemajuan negara bukan sahaja perlu dilihat dari segi ekonomi, budaya dan intelektual, tetapi turut merangkumi pembangunan sukan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini. 

Perdana Menteri menyifatkan penyertaan kira-kira 10,000 peserta pelbagai kaum dalam sambutan itu memberi gambaran lambang perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Bertemakan 'Malaysia Aktif' – HSN 2025 memperkasa penglibatan aktif segenap masyarakat termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk sukan rakyat, permainan tradisional, e-sukan, aktiviti lasak, kecerdasan moden, dan sukan komuniti

Empat acara utama turut diadakan iaitu Kayuhan MADANI (35 kilometer (km), Larian Ria MADANI (5km), Berjalan Ria MADANI (3.5km) serta program 1,500 langkah sempena Hari Berjalan Sedunia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI